Jumaat, 1 Julai 2011

SEJARAH KAMPUNG



JALAN TEKUKUR iaitu sekitar tahun 1940-an hingga tahun 1980-an dahulunya dikenali sebagai Lorong Mok Per, sempena nama seorang nenek yang amat disegani dan dihormati ketika itu iaitu Cheper binti Sulaiman. Beliau sejak dari muda belia adalah seorang penjual pelbagai jenis bubur seperti bubur chaca, bubur pulut hitam dan bubur kacang serta pelbagai jenis kuih muih. Beliau juga turut menjual nasi dagang dan nasi kunyit. Kedai Mok Per ini terletak di simpang jalan di pintu masuk utama ke Jalan Tekukur. Selain itu Mok Per juga pandai menganyam tikar mengkuang. Suami kepada Cheper iaitu Omar bin Abdul Rahman juga merupakan seorang yang pakar membuat wau tradisional dan sangkar burung tekukur yang cukup terkenal sekitar tahun 1940-an. Pak Omar ini juga merupakan seorang guru silat yang cukup tersohor ketika itu.


Mok Per meninggal dunia pada tahun 1980 iaitu dua tahun selepas suaminya meninggal dunia. Selepas Mok Per meninggal dunia, Lorong Mok Per telah ditukar nama dengan rasminya kepada Jalan Tekukur. Ini kerana di kawasan ini merupakan habitat semulajadi burung tekukur. Keluasan kampung asal Mok Per bermula dari pintu masuk Jalan Tekukur sehingga ke bangunan surau yang ada sekarang. Kawasan taman-taman perumahan yang ada sekarang ini, dahulunya adalah kawasan paya yang luas yang dikenali sebagai paya berenjut. Habitat burung tekukur adalah sekitar jalan, kawasan paya, kawasan padang dan kawasan hutan belukar. Tambahan pula, terdapat ramai penduduk di sini pada masa itu yang gemar memelihara burung tekukur kerana kemerduan suaranya. Maka sehingga ke hari ini kekal sebagai JALAN TEKUKUR.

Warisan Mok Per dan suaminya masih wujud hingga ke hari ini di kawasan JKKK Jalan Tekukur iaitu di mana ramai penduduknya terlibat dalam pembuatan kuih-muih, masakan pelbagai jenis nasi dan kraftangan wau yang terkenal hingga ke peringkat antarabangsa serta seni bela diri iaitu seni silat.
Burung Tekukur


Sumber rujukan Sejarah :  AHMAD RAZILA BIN JAAFAR, Cucu kepada MOK PER.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan