Jumaat, 30 September 2011

LAWATAN MUHIBBAH JKKK JALAN TEKUKUR KE KAMPUNG BUKIT WAN, BATU RAKIT

30 September 2011- JKKK Jalan Tekukur telah mengadakan satu Lawatan Muhibbah Ke Kg. Bukit Wan, Batu Rakit. Lawatan ini bertujuan untuk berkongsi idea, ilmu dan maklumat mengenai kejayaan Kg. Bukit Wan dalam  Pertandingan Kebersihan & Keceriaan Kampung Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2010 (Kategori Luar Kawasan Operasi PBT) yang lalu. 

Rombangan ini disertai seramai 35 orang yang terdiri dari AJK JKKK Jalan tekukur dan penduduk kampung terpilih. Rombongan ini tiba tepat jam 3.30 petang yang telah diketuai oleh Pengerusi JKKK Jalan Tekukur, Puan Hajah Arpah binti Othman bersama Penghulu Mukim Bandar iaitu Encik Mohd Zamari bin Abu Zih yang merupakan mantan Penghulu Mukim Batu Rakit yang pernah menyelia JKKK Bukit Wan. Rombongan ini turut disertai Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu iaitu Encik Badrul Hisham bin Haji Zaki. Turut hadir dalam program ini ialah Penghulu Kanan dan Penghulu Mukim Batu Rakit.

Dalam lawatan ini, peserta rombongan dari JKKK Jalan Terkukur telah diberikan pelbagai taklimat mengenai cara bagaimana hendak menimbulkan rasa muafakat dikalangan para penduduk. Tayangan video mengenai sejarah kampung, sikap kerjasama para penduduk dan kemenangan Pertandingan Keceriaan dan Kebersihan Kampung turut dipertontonkan. Rombongan turut dibawa melawat sekitar Kg. Bukit Wan iaitu lawatan ke kilang roti, bengkel membuat ragi, Taman Herba JKKK dan projek ternakan ayam serama. Lawatan ini berakhir pada jam 6.30 petang. Semoga JKKK Jalan Tekukur dapat memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan idea yang diperolehi di Kg. Bukit Wan dalam menghadapi Pertandingan Kebersihan & Keceriaan Kampung Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2011 (Kategori Dalam Kawasan Operasi PBT), InsyaAllah.